
Laporan/foto: Mahrani Mohamad/Hasnol Hadi Hashim (Kulim)
KULIM, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Aktiviti kesukarelawanan masih dipandang sepi segelintir masyarakat sehingga terdapat universiti yang melahirkan graduan dalam bidang Kerja Sosial semata-mata untuk membantu memberikan khidmat sosial kepada masyarakat.
Pemangku Pegawai Daerah Kulim Datuk Abdul Ghafar Yahya, berkata kesukarelawan ini bukan lagi satu subjek dalam pengajian sebaliknya adalah adab dan kelakuan masyarakat yang menjadi tunjang kepada pembangunan dan kejayaan sesuatu masyarakat itu.
“Inisiatif Pejabat Kebajikan dan Masyarakat Daerah Kulim ini harus dipuji kerana berjaya melahirkan sukarelawan yang sentiasa membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Ternyata semangat tolong menolong dan kesukarelawanan ini dapat memupuk jati diri yang positif dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa merasmikan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Daerah Kulim, di sini semalam.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah Zakaria Taib, dalam ucapannya menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama berganding bahu membantu menyumbangkan khidmat dalam masyarakat.
“Persekitaran memainkan peranan penting sebagai acuan utama dalam membentuk diri dan masa hadapan terutama generasi muda seiring ke arah negara maju yang berpendapatan tinggi,” katanya.
-SH