Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) giat memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas aktiviti di premis perniagaan di sekitar Selayang.
Pengarah Jabatan Korporat, Mohamad Zin Masoad, berkata pemantauan hari pertama oleh pasukan pemantau penguatkuasa MPS mendapati terdapat premis perniagaan masih beroperasi.
“Sekitar kawasan Selayang Jaya terdapat bengkel motosikal, kedai tayar, pusat cucian kereta, penjaja dan kilang pemborong ikan bilis masih lagi meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.
“Pasukan pemantau penguatkuasa MPS telah mengeluarkan beberapa notis ke atas para peniaga yang masih degil untuk memberhentikan operasi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata peniaga yang gagal mematuhi notis yang dikeluarkan boleh diambil tindakan mengikut peruntukan yang ditetapkan.
“Sekiranya peniaga didapati gagal mematuhi notis yang diperuntukan di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342), peniaga akan dikenakan sabit kesalahan pertama boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau pun kedua-duanya.
“MPS memandang serius perkara ini dan berharap para peniaga tidak mencabar arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan bagi mengawal wabak virus COVID-19 daripada terus merebak di kawasan pentadbiran MPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
-NAZ