Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Empat LRA Sungai Selangor Beroperasi Semula

By 18 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak) 

SHAH ALAM, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang beroperasi semula.

Ketua Komunikasi Korporat, Abdul Halem Mat Som, berkata pada 10.30 malam tadi setelah henti tugas selama tiga jam susulan berlaku pencemaran bau yang dikesan jam 7 malam, semalam.

“Tindakan operasi pengepaman air kolam serta pelepasan air mentah daripada Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi serta HORAS 600 berjaya mencairkan bahan pelarut di dalam Sungai Selangor.

“Pencemaran bau menurun sehingga 0 TON yang membolehkan pengepaman air mentah dilakukan untuk dirawat oleh keempat empat loji rawatan air berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya berikutan henti tugas empat loji tersebut selama tiga jam, hanya beberapa kawasan di Wilayah Kuala Selangor dan Klang terjejas.

“Kawasan yang masih terjejas adalah wilayah Kuala Selangor iaitu sebahagian Kuala Selangor dan Ijok serta wilayah Klang merangkumi Shah Alam, Kapar, Meru, Telok Gong, Pulau Indah dan Pulau Ketam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata bekalam air bagi kawasan di Kuala Selangor, Shah Alam, Telok Gong, Pulau Indah dan Pulau Ketam dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi, 18 Mac.

“Sementara itu, bekalan air bagi kawasan Meru serta Kapar pula dijangka pulih sepenuhnya pada 6 petang, 18 Mac.

“Air Selangor mengambil segala usaha meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan terjejas termasuk menghantar bantuan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas,” katanya.

Terdahulu, henti tugas empat LRA tersebut terpaksa dilakukan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Berikutan henti tugas loji-loji rawatan ini, gangguan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda