Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PM Popularkan Nama Makcik Kiah

By 27 Mac 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

PUTRAJAYA, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Nama makcik Kiah tiba-tiba menjadi trending di media sosial hari ini selepas ianya disebutkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), hari ini.

Pelbagai pihak menggunakan nama Makcik Kiah sebagai sebagai bahan gurauan atau gambar emoji dalam media sosial seperti facebook, twitter dan kumpulan Whatsapp.

Muhyiddin memberikan contoh seorang penjual goreng pisang bernama Makcik Kiah yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, suaminya pesara kerajaan kini pemandu Grab sementara anaknya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan, dengar baik-baik saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat.

“Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1600, baki Bayaran Sara Hidup (BSH) sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500 dan bantuan orang bujang sebanyak RM800.

“Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM 200 sebulan sehingga wabak berakhir, keseluruhan keluarga Makcik Kiah akan dapat sekurang-kurangnya RM4,200.

“Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan (RM1,800) dan penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan (RM120),” katanya.

Katanya, anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1,200.

“Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

“Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464 dan keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM8,664.

“Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” katanya menerusi siaran langsung di televisyen hari ini.

Perdana Menteri ketika membentangkan pakej bernilai RM250 bilion bagi manfaat kepada semua lapisan ketika menghadapi penukaran Covid-19, hari ini.

Katanya, hampir RM128 bilion akan disalur untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sebanyak RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara, manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

“Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua,” katanya.

Tinggalkan komen anda