Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bantuan Prihatin Nasional Bantu Lebih Lima Juta Isi Rumah

By 27 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menghadapi wabak COVID-19, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, yang akan turut disalurkan kepada kumpulan M40.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebanyak RM1,600 akan diberikan kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah, di mana bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April dan RM600 pada Mei nanti.

“Sebanyak RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 akan dibayar pada bulan April sebanyak RM500 dan baki pada bulan seterusnya, manakala tiga juta individu bujang dan berpendapatan RM2,000 ke bawah akan turut mendapat bantuan sebanyak RM800.

“RM500 akan turut diberikan kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000,” katanya ketika Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi, hari ini.

Muhyiddin turut mengumumkan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang akan menerima bantuan secara sekali beri sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada Mei nanti dengan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, Universiti Awam dan Swasta.

“Sebelum ini, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam selama enam bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta dan kini kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta, di mana inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda