Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Mega Gotong-Royong Kukuh Jalinan Pelbagai Jabatan

By 6 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhamad Nawawi Kasa/Azam Mat Nawi (Pendang)

PENDANG, 6 Feb (Malaysiaktif) – Pejabat Daerah dan Tanah Pendang mengajak jabatan-jabatan kerajaan yang berada dalam daerah sini untuk mengadakan program gotong-royong mega dengan pengisian ‘2 dalam 1’ iaitu membersihkan kawasan Tasik Pendang serta membina kerjasama kukuh antara pelbagai jabatan.

Menurut Pegawai Daerah Pendang, Syed Khairol Anuar Syed Abidin, program ini boleh diadakan selalu dalam usaha membentuk muafakat dalam kalangan penjawat awam dan orang ramai.

“Banyak pihak hanya melihat program gotong-royong semata-mata untuk membersihkan kawasan, namun bagi kami ianya merupakan platform untuk mewujudkan keharmonian bersama jabatan menerusi aktiviti setempat.

“Pada 3 hingga 4 April ini akan diadakan Pertandingan Perahu Naga, Kayak dan Rakit bersempena Pesta Tasik Pendang 2020 dan penduduk setempat digalakkan menyertai program ini,” katanya yang ditemui sempena program gotong-royong mega, di sini semalam.

Pegawai Daerah Pendang bersama-sama turun memantau tahap kebersihan Tasik Pendang.

Pegawai Daerah Pendang bersama-sama turun memantau tahap kebersihan Tasik Pendang.

Bagi Anggota Pertahanan Awam Lt.M (PA) Nor Amalina Zain Ahmad, 24, program ini sebagai usaha murni bagi mewujudkan suasana berbeza iaitu mengeratkan ikatan kerjasama antara jabatan serta mendapat pembelajaran baharu.

“Usaha yang dilakukan ini melambangkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kebersihan persekitaran sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Zaiton Talib, 50, berpendapat jika program seperti ini mendapat sokongan padu serta kerjasama semua pihak tidak mustahil ia mampu mewujudkan golongan masyarakat yang lebih prihatin dalam menjaga kebersihan keseluruhan daerah.

-SH

Tinggalkan komen anda