
Laporan/foto: Shah Hood/Ihsan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (Johor)
JOHOR BAHRU, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 Negeri Johor meningkat secara keseluruhan menjadikan negeri ini ketiga terbaik di Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Azman Adnan, Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 0.13 iaitu 4.68 mengatasi GPN Nasional sebanyak 4.90 mata.
“Peratus lulus bagi calon SPM 2019 yang layak menerima sijil telah meningkat 0.78 peratus daripada 85.6 peratus berbanding 86.43 peratus pada tahun 2018.

Azman Adnan menunjukan keputusan SPM 2019 kepada wartawan semasa sidang media keputusan SPM 2019 Negeri Johor.
“Seramai 56 calon telah memperoleh keputusan cemerlang gred A+ dalam semua matapelajaran manakala jumlah calon yang memperoleh gred A+, A dan A- meningkat daripada 940 kepada 1083 orang bagi tahun 2019,” katanya lagi.
Tambah Azman, peratus lulus dan GPN bagi negeri ini telah mengatasi peringkat kebangsaan dengan jurang pencapaian pelajar di kawasan bandar dan luar bandar semakin mengecil.
“Tahap pencapaian di kawasan bandar dan luar bandar berada pada paras yang sama, ini menunjukan kualiti para guru yang mengajar tidak banyak bezanya dan ini boleh dilihat melalui pencapaian SPM 2019 ini,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media pengumuman Keputusan SPM 2019 Negeri Johor di SMK Mutiara Rini Johor Bahru, pagi tadi.
Azman juga memaklumkan Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru telah mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) 0.78 dengan 26 orang pelajar cermelang mendapat gred A+ dan 100 orang pelajar memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
“Bagi calon berkeperluan khas (CBK) SPM 2019 pula, seramai 111 orang dari 142 orang calon layak dianugerahkan SPM 2019,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon yang dianugerahkan SPM 2019 serta penghargaan kepada para pengetua, guru, ibu bapa, Pejabat Pendidiakn Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang komited dalam meningkatkan kualiti pendidikan Negeri Johor.
-NI-