
Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Mahmud Sulaiman(Sarawak)
KUCHING, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menasihati rakyatnya agar mengehadkan pergerakan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk keluar rumah bagi membeli barang-barang keperluan harian dan mendapatkan barangan/perkhidmatan yang penting sahaja, dan kesemua pejabat-pejabat kerajaan ditutup sepanjang tempoh 18 hingga 31 Mac ini dengan hanya jabatan dan agensi kerajaan yang menyediakan essential services sahaja dibenarkan beroperasi.
“Restoran dan kedai makan masih boleh dibuka tetapi orang ramai tidak dibenarkan untuk makan atau minum di dalam premis-premis tersebut, dan mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya ketika mengadakan sidang media, di sini semalam.
Abang Johari selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berbuat demikian berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan virus COVID-19 belakangan ini serta mengambil tindakan lebih tegas untuk membendung virus ini daripada terus merebak.
Sarawak dan Putrajaya mencatatkan jumlah kes kematian pertama akibat COVID-19 di negara ini membabitkan seorang lelaki berusia 60 tahun di sini.
-SH