Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Kubendiran Manickam (Langkawi)
LANGKAWI, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Bertemakan “Seimbang untuk Sejahtera,” Hari Wanita Sedunia 2020 mengiktiraf peranan wanita dengan sumbangan mereka dalam memperkasakan pembangunan negara.
Pengerusi Persatuan Wanita Langkawi (LAWA) Azlina Mansor, berkata majlis ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada golongan wanita terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara di samping sebagai perangsang kepada kaum wanita untuk terus bergiat aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
“Selaras dengan tema, wanita merupakan elemen penting dalam pembentukan keluarga, perpaduan serta pembangunan masyarakat dan negara di mana setiap kerja yang dilakukan memerlukan keseimbangan antara satu sama lain.
“Peranan wanita tidak seharusnya terbatas kepada aspek kekeluargaan sahaja tetapi harus terus membugar menjadi pembuat keputusan dan pelaksanaan polisi dalam politik dan ekonomi.
“Wanita turut perlu menitikberatkan soal keselamatan diri masing-masing di mana dewasa ini wanita masih dianggap insan yang lemah dan tidak seharusnya kita terus termakan dengan stigma sebegitu sedangkan wanita zaman moden ini telah berubah seiringan dengan masa,” katanya ketika ditemui sempena sambutan tersebut, di sini baru-baru ini.
Azlina turut berkata bahawa wanita umpama bunga yang mana indah pada pandangan mata tetapi hanya sementara, yang kekal hanyalah akhlaknya yang mulia dan hati yang penuh dengan ilmu.
“Maka jadilah wanita yang terus komited dalam menjalankan amanah masing-masing sama ada sebagai suri rumah mahupun bekerja,” katanya lagi.
-SH