
Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Ahmad Fitri Jasni (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Menyedari usaha dan sumbangan pihak barisan hadapan yang bertugas di lapangan ekoran penularan wabak Covid-19, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah mengambil langkah untuk memberi sumbangan makanan kepada mereka.
Menurut Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap, sumbangan ini adalah sebagai tanda terima kasih di atas jasa dan pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan.
“Sebanyak 200 pek telah makanan diedarkan kepada petugas daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah, Ikatan Relawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah,” ujarnya ketika menyampaikan sumbangan tersebut di Kafetaria Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, di sini kelmarin.
Tambah beliau lagi, sumbangan tersebut merupakan bantuan daripada kerajaan Negeri Sembilan yang disalurkan melalui pihaknya untuk diagihkan kepada petugas yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Kami turut mengalu-alukan sebarang sumbangan dari mana-mana pihak untuk petugas di lapangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya lagi.
Faizal turut meminta agar semua pihak tidak berkongsi maklumat palsu atau tularkan sesuatu yang tidak pasti kerana ia boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Turut sama, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Amran Mohd Ghani.
-AK