Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/JaPen
PUTRAJAYA, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan masih tidak berpuas hati kerana Perintah Kawalan Pergerakan belum dipatuhi sepenuhnya terutama di beberapa kawasan yang berisiko tinggi.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri mengatakan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan hanya mencapai kadar pematuhan 90 peratus, dengan jumlah 10 peratus yang masih ingkar tidak boleh dipandang remeh kerana ianya melibatkan kira-kira tiga juta penduduk.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengadakan rondaan, sekatan jalanraya, mengawal hospital dan sempadan, kawasan luar bandar dan kawasan-kawasan awam yang berisiko tinggi.
“PDRM juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas (Special Task Force) bersama ATM, RELA dan APM, tatacara Pengendalian Piawai (SOP) penglibatan bersama agensi akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas ini dan kerajaan berharap penglibatan bersama ini dapat meningkatkan lagi kesedaran dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya semasa sidang media, di ibu kota hari ini.
Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya dengan penyebaran berita atau maklumat palsu berkaitan keberadaan aset ATM sepanjang tempoh perintah kawalan berlangsung.
“Rakyat dinasihatkan supaya jangan percaya dengan gambar-gambar yang tular memaparkan kononnya kereta kebal dan kereta perisai ATM bergerak di atas jalan raya. Ini merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak yang ingin menimbulkan keresahan pihak awam.
“Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 bawah Kementerian Kesihatan masih berkuatkuasa dan bukannya Akta Darurat, sepertimana diuar-uarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
-SH