Laporan/foto : Luqman Hakim/ IPD Petaling Jaya (Petaling)
SHAH ALAM, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 12 individu ditahan pihak polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Taman Medan, Sri Manja dan Taman Datuk Harun dalam operasi yang dilaksanakan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata masih ramai lagi individu ingkar terhadap arahan PKP di kawasan berkenaan.
“Ianya melibatkan 13 buah kereta polis peronda (MPV), 15 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan tiga pasukan cantas iaitu pasukan yang menangkap mereka yang masih tidak mematuhi PKP.
“Seramai 12 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP yang melarang orang awam atau kenderaan persendirian keluar selepas jam 10 malam,” katanya.
Nik Ezanee berkata individu yang ditahan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah untuk keluar rumah semasa arahan PKP dilaksanakan ketika ini.
“Saya tidak merasakan mereka ini degil tetapi mereka tidak dapat duduk di rumah mungkin disebabkan kebosanan atau sebagainya dengan alasan yang tidak masuk akal.
“Mereka yang ditahan dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
-NAZ