
PUTRAJAYA, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 95 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan 12,160 rakyat Malaysia yang dikuarantin selepas pulang dari luar negara setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, seramai 7,910 individu daripada jumlah keseluruhan itu telah diambil sampel sejak 3 April lepas.
Justeru, katanya, tindakan mewajibkan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ditempatkan di stesen kuarantin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertepatan dalam mengekang penularan wabak itu.
“Perkara ini (kes positif rakyat Malaysia dari luar negara) telah dijangka, memandangkan lebih daripada 180 negara di seluruh dunia telah terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Tindakan proaktif ini (kuarantin) menyaksikan peningkatan jumlah kes dilaporkan di negeri mereka dikuarantinkan, misalnya peningkatan 37 kes di Melaka; 32 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya; tiga di Sarawak; tiga di Johor, dan dua di Selangor.
“Kes-kes positif ini telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Mengenai aktiviti pemantauan jangkitan COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, KKM telah menjalankan persampelan dalam kalangan pesakit dengan gejala Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) sejak 2 Feb.
Katanya, setakat ini terdapat 56 kes positif daripada 2,669 sampel atau iaitu 2.1 peratus daripada jumlah sampel kes SARI telah diambil.
“Bagi sampel kes ILI pula, sebanyak lapan kes positif COVID-19 telah dikenal pasti daripada 1,280 sampel yang telah diambil atau 0.6 peratus,” katanya.
Jelasnya, KKM akan terus memperluas dan memperkukuhkan aktiviti pemantauan COVID-19 di Malaysia termasuk pengesanan dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Mengenai perkembangan kes positif di lokaliti PKPD, Dr Noor Hisham berkata terdapat satu penambahan kes baharu di Selangor Mansion, Kuala Lumpur hari ini.
“Ini menjadikan jumlah kes positif di Selangor Mansion adalah 85 kes dan tiada penambahan kes baharu di setiap lokaliti PKPD yang lain,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak enam arahan PKPD yang dikuatkuasakan di tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.
Dalam pada itu, katanya enam kluster merekodkan penambahan kes baharu membabitkan kluster Madrasah Sungai Salan, Pahang (lapan kes); PUI Itali (lima kes); Persidangan Gereja (empat kes); Petugas Kesihatan Sarawak (dua kes); manakala Pusat Perubatan KL dan Madrasah Ayer Merbau Melaka masing-masing dengan satu kes.
Lebih 30 kluster berkaitan COVID-19 telah dikesan di negara ini.
— BERNAMA