Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Boleh Pasang Internet Waktu PKP – Ismail Sabri

By 18 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Perkhidmatan pemasangan dan penyediaan internet di kawasan kediaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebelum pemasangan dilakukan di rumah pelanggan, syarikat penyediaan perkhidmatan itu perlu memaklumkan kepada polis sewaktu melalui sekatan jalan raya.

“Keperluan internet dan sebagainya merupakan keperluan asas hari ini. Ia juga sama dengan elektrik yang tiba-tiba putus. Kita selama ini membenarkan perkara ini beroperasi.

“Contohnya melibatkan Telekom, kita benarkan kerana ia tiada isu dan ia melibatkan keperluan harian rakyat di negara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan ada majikan yang memaksa pekerjanya kembali bekerja sewaktu PKP, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata tindakan mungkin boleh diambil terhadap majikan tersebut bergantung kepada undang-undang yang bersesuaian.

“Majikan ini yang sebenarnya langgar PKP kerana paksa pekerja pulang bekerja walaupun dia tahu perjalanan merentasi sempadan ini tidak dibenarkan.

“Kalau ini berlaku, saya percaya, ia akan dibincangkan dengan Kementerian Sumber Manusia untuk ambil tindakan kepada majikan mengikut undang-undang yang ada,” katanya.

Mengulas mengenai status kuarantin melibatkan pekerja di luar pesisir pantai, Ismail Sabri berkata kumpulan tersebut juga perlu dikuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang telah ditetapkan dan yang berdekatan.

“Semua yang masuk ke negara kita akan dikuarantin. Sama ada dari laut, udara, darat sekalipun akan dikuarantin. Kalau di Singapura, melalui jalan darat kita kuarantin, polisi kita, sesiapa sahaja yang pulang akan dikuarantin,” tambahnya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda