
PUTRAJAYA, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID-19 apabila kes positif harian sekali lagi mencatatkan angka terendah iaitu 54 kes hari ini, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
Jumlah kes pulih harian adalah 135 kes, lebih dua kali ganda berbanding kes baharu yang direkodkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 135 kes pulih, ia menjadikan jumlah kumulatif terkini kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan yang telah discaj daripada wad kini berjumlah 2,967 kes atau 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“54 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,305 kes dengan jumlah kes kebolehjangkitan ialah 2,115 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.
Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan dua lagi kes maut, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 88 kes atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Katanya, kematian ke-87 (kes ke-2,657) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 60 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 pukul 3.20 petang.
“Bagi kematian ke-88 (kes ke-5,252) adalah lelaki warganegara Myanmar berumur 36 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Selayang pada 17 April (semalam) dan datang pada peringkat yang lewat dengan jangkitan paru-paru Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI). Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada jam 10 pagi,” katanya.
— BERNAMA