
PUTRAJAYA, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Susulan keadaan semasa COVID-19, tarikh akhir untuk memberikan maklum balas kepada Perundingan Awam Kod Amalan Am Pengguna (GCC) Untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dilanjutkan kepada 16 Julai tahun ini.
Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, tempoh untuk proses perundingan awam pada asalnya ditetapkan dari 3 Mac hingga 16 April lepas selama 45 hari.
“Bagaimanapun disebabkan situasi semasa COVID-19 dan penguatkuasaan berterusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei, tarikh akhir itu dilanjutkan sehingga 16 Julai bagi memberi masa yang mencukupi untuk pengguna memberikan maklum balas,” katanya.
Orang awam digalakkan untuk memberikan maklum balas mereka kepada perundingan awam bagi memastikan GCC versi 2020 memenuhi keperluan dan melindungi hak pengguna komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai langkah ini boleh melayari http://www.consumerinfo.my
— BERNAMA