Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sembilan Jalan Ditutup Berperingkat – Polis

By 1 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Polis akan menutup secara berperingkat bermula hari ini sembilan susur jalan dan simpang sekitar daerah Gombak sebagai langkah proaktif mengetatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) orang awam di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata susur Batu 20 Jalan Kuala Lumpur – Rawang (berdekatan kilang MayPlastic) akan ditutup sepenuhnya dan orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Rawang Bypass – Templer Park.

“Simpang ke Kundang – Bandar Tasik Puteri dari Bandar Country Homes juga akan ditutup dan penduduk sekitar disarankan menggunakan Lebuh raya Kuala Lumpur -Kuala Selangor (Latar) – Jalan Rawang / Batu Arang – Country Homes.

“Turut ditutup adalah susur ke Latar dari Jalan Rawang – Kuala Lumpur dan orang ramai digalakkan menggunakan jalan alternatif yang disediakan iaitu Jalan Ipoh – Kuala Lumpur (pusingan U di Kilometer (KM) 14).

“Dua pusingan U akan ditutup iaitu Latar dari Rawang–Kuala Lumpur serta selepas Shell Templer Jalan Rawang– Kuala Lumpur, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif Jalan Ipoh – Kuala Lumpur (pusingan U di KM 14),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata susur naik ke Pejabat Tanah Gombak Jalan Rawang–Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya dan orang ramai perlu menggunakan jalan alternatif Jalan Ipoh–Kuala Lumpur–lampu isyarat KM14.

“Jalan keluar dari Selayang Utama juga ditutup dan masyarakat sekitar disaran menggunakan jalan alternatif Jalan Selayang Utama – Selayang Jaya – Jalan Selayang Kepong Bypass.

“Pihak polis juga menutup simpang ke Kampung Selayang Pandang dari Jalan Kuala Lumpur – Ipoh dan penduduk sekitar perlu menggunakan jalan alternatif di KM14 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh – Selayang Jaya.

“Jalan Besar Selayang Baru iaitu sebelum stesen minyak Petron Jalan Ipoh – Kuala Lumpur turut ditutup, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan 2 Selayang Baru – Petron – Pasar Borong – Jalan Kuala Lumpur – Ipoh,” jelasnya.

Selain itu, Arifai memaklumkan lima lokasi sekatan jalan raya di daerah Gombak iaitu di KM14 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh dari arah Rawang menghala ke Kuala Lumpur; KM14 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh dari arah Kuala Lumpur menghala ke Rawang.

“Sekatan jalan raya juga diadakan sebelum Plaza Tol Rawang menghala ke Sungai Buloh; sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong dan Jalan Desa Aman Puri, Desa Jaya.

“Pihak polis menyarankan agar masyarakat mematuhi PKP ini dengan sepenuhnya dan bersabar dalam mengharungi segala kesulitan ini,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda