Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

352 Terima Sumbangan Bantuan Prihatin COVID-19 di Cameron Highlands

By 1 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Rose Rasidi/ Intan Saziana / Pejabat Daerah Cameron Highlands (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 352 orang menerima sumbangan Bantuan Prihatin COVID-19 Fasa 1 Kerajaan Negeri Pahang di daerah Cameron Highlands bermula dari tarikh 27 Mac sehingga 29 Mac 2020 yang merangkumi keseluruhan mukim di daerah ini.

Menurut Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands, Muhammad Shukri Abdul Aziz, penerima sumbangan adalah terdiri daripada golongan penjaja dan pemandu teksi yang telah berdaftar di bawah Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

“Sumbangan berupa wang tunai bernilai RM150 dan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan sebagainya bernilai RM50 diberikan kepada mereka khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 dilaksanakan. Ramai yang terkesan dan hilang punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan, namun akur membantu kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini.

“Inisiatif kerajaan negeri Pahang ini merupakan bantuan bagi Fasa Pertama, manakala Fasa Kedua bakal dilaksanakan dalam masa terdekat apabila tempoh PKP ini dilanjutkan ke 14 April 2020. Kami turut menerima senarai nama penerima baharu dan akan disemak oleh Majlis Daerah Cameron Highlands,” ujarnya ketika majlis penyampaian sumbangan di Pasar Awam Tringkap, di sini, kelmarin.

Turut sama hadir menyampaikan sumbangan sepanjang tiga hari di empat Zon di Cameron Highlands iaitu Zon Tanah Rata, Brinchang, Ringlet dan Ulu Telom ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mewakili Menteri Besar Pahang dan turut diiringi Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Haji Ishak Md Napis serta YDP Majlis Daerah Cameron Highlands, Datuk Haji Zainal Abidin Md. Amin.

Majlis penyampaian dilaksanakan dalam pelbagai bentuk iaitu pemberian secara individu, rumah ke rumah dan secara pandu lalu.

Penyampaian sumbangan juga diadakan mengikut etika keselamatan yang betul, mematuhi penjarakan sosial dan memakai penutup mulut dan hidung serta setelah selesai pemberian, petugas terus memakai ‘hand sanitizer’. Manakala penerima pula terus pulang ke rumah dan tidak berkumpul, jelas menunjukkan kepatuhan yang tinggi.

Sumbangan barangan keperluan asas kepada golongan penjaja dan pemandu teksi.

Sumbangan barangan keperluan asas kepada golongan penjaja dan pemandu teksi.

-KN

Tinggalkan komen anda