Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Sumbangan Kerajaan Negeri Bantu Pelajar UITM Perlis Hadapi PKP

By 19 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Muaz Mahzair (Perlis)

ARAU, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menyerahkan sumbangan berupa wang tunai kepada para pelajar UITM Cawangan Perlis dalam usaha membantu meringankan beban mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac yang lalu.

Menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Dr Ahmad Nizan Mat Noor, sumbangan wang tunai sebanyak RM100 yang diberikan oleh kerajaan negeri pada setiap pelajar ini secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka terutamanya yang tinggal di luar kampus.

“Saya amat berharap para pelajar dapat menggunakan wang sumbangan yang diberikan dengan sebaiknya.

“Pihak kami juga turut menyediakan pelbagai jenis makanan untuk para pelajar di sini, termasuk pulut harum manis dan makanan segera,” katanya lagi ketika ditemui pada sesi penyerahan wang sumbangan, di sini, baharu-baharu ini.

Tambah beliau, pihak UITM juga menerima sumbangan bantuan makanan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan juga Yayasan Food Bank Malaysia.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Nurul Syuhada Muhammad Rosli, 20, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak pengurusan UITM Cawangan Perlis di atas sumbangan yang diberikan kepada para pelajar.

“Bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami dalam menghadapi PKP,” ujarnya.

Ahmad Nizan juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjaga kebajikan para pelajar di sini bermula dari PKP Fasa 1 sehinggalah ke hari ini.

“Saya juga memohon masyarakat agar terus menjaga kebersihan diri dan mengikuti langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Masyarakat juga perlu patuh pada arahan PKP untuk terus duduk di rumah dan mengamalkan penjarakkan sosial bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan seterusnya memutuskan rantaian wabak ini.

“Kita harus terus bersabar dan berdoa semoga penularan wabak ini akan cepat berakhir,” katanya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda