
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 65 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan lebat di beberapa daerah di Perak semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata seramai 15 mangsa banjir daripada tiga keluarga di daerah Kampar ditempatkan di PPS yang dibuka di Dewan Tebing Tinggi, Malim Nawar pada pukul 8.30 malam tadi.
“Setakat pagi ini, mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, katanya seramai 50 lagi mangsa banjir terdiri daripada 24 lelaki dan 26 wanita di daerah Larut Matang dan Selama dipindahkan ke tiga PPS yang dibuka bermula antara pukul 10.30 malam dan 11.30 malam.
“PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Changkat Ibol menempatkan 16 mangsa, manakala Dewan Batu 8, Changkat Jering, Taiping menempatkan 22 mangsa, dan Masjid Batu 8 Changkat Jering pula menempatkan 12 mangsa setakat ini,” katanya.
Beliau berkata pasukan bomba dan pelbagai agensi masih membuat pemantauan di PPS dan kawasan sekitar kediaman mangsa, masih dinaiki air setakat ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata 15 lagi keluarga turut dipindahkan ke PPS Surau Kampung Paya, Bukit Gantang berikutan kejadian banjir susulan hujan lebat yang berlarutan selama kira-kira tiga jam sejak pukul 2.00 petang semalam.
“Hujan menyebabkan air dari Sungai Bukit Gantang memasuki Sungai Kampung Paya yang melimpah menyebabkan banjir dan rumah kebanyakan penduduk dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga satu meter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah memberikan bantuan awal makanan bagi membolehkan penduduk terlibat berbuka puasa kerana kebanyakan mereka tidak sempat membuat persiapan untuk berbuka.
Susulan itu, beliau meminta kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan sungai yang cetek bagi membolehkan air mengalir dengan cepat sekaligus mengelak kejadian banjir.
— BERNAMA