Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Anggota Polis Maut Dilanggar Pemandu Mabuk di Kajang

By 3 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Malaysianews TV

PUTRAJAYA, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Seorang anggota polis maut dilanggar kenderaan dipandu pemandu yang dipercayai mabuk, ketika bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di Kajang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, berkata hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu tersebut gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas, sebelum melanggar kenderaan anggota yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata laporan polis telah dibuat oleh penyelia SJR  manakala pemandu itu yang turut mengalami kecederaan, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa, yang berasal dari Ipoh, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Safwan.

Selain itu, jenazah Allahyarham yang kini berada di Hospital Serdang dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Ulu Kinta, Perak untuk dikebumikan.

“Sesungguhnya pemergian Allahyarham Koperal Safwan yang berkhidmat sehingga ke hujung nyawa merupakan satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga IPD Kajang.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda