PUTRAJAYA, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Individu yang masih berdegil dengan membawa golongan berisiko dijangkiti COVID-19 khususnya kanak-kanak dan warga emas ke tempat tumpuan awam, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, tindakan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mungkin boleh diambil pihak berkuasa, jika pendekatan memberi nasihat dilihat gagal.
“Kementerian Kesihatan (KKM) mengunakan pendekatan menasihat, jangan bawa golongan berisiko ke tempat awam termasuklah pusat beli-belah dan hospital, melainkan ada janji temu.
“Sekarang ini kita (KKM) beri nasihat, tapi mungkin kita akan ambil tindakan di bawah Akta 342 iaitu saman atau tindakan mahkamah,” katanya.
Beliau ditanya sama ada KKM akan meneliti larangan membawa golongan berisiko dijangkiti COVID-19 ke tempat awam sebagai prosedur operasi standard (SOP) tambahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sebelum ini, media melaporkan masih ramai individu membawa golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas ke tempat awam.
Malah, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kerajaan boleh meminda undang-undang di bawah akta tersebut sekiranya, masyarakat tidak menghiraukan perkara itu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihatkan umat Islam untuk meraikan sambutan Hari Raya di rumah sahaja untuk melindungi ahli keluarga dan komuniti daripada jangkitan COVD-19.
“Jika kita amalkan ini, (atau) melaksanakan perintah berkurung di dalam rumah sendiri untuk memastikan tiada siapa dari luar masuk ke rumah kita, itu sebaiknya.
“Ini sesuatu yang kita boleh lakukan. Jangan berkunjung dari satu rumah ke satu rumah, jika kita ambil semua langkah berjaga-jaga kita boleh melindungi keluarga kita,” katanya.
Kepada soalan mengenai jumlah sekolah tahfiz yang pelajarnya masih belum tampil untuk menjalani saringan COVID-19, Dr Noor Hisham berkata KKM bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengenal pasti sekolah tahfiz berkenaan.
“Petugas kesihatan juga turun padang ke sekolah, mengenal pasti sekolah dan melakukan ujian saringan. Ia tiada kena mengena dengan stigma tetapi untuk melindungi dan memastikan jangkitan tidak disebarkan kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata KKM turut menjalankan proses pengesanan di sekolah tahfiz dan telah mengenal pasti 370 sekolah tahfiz dan melakukan saringan terhadap lebih 50 peratus atau 13,288 individu termasuk pelajar, guru dan staf.
— BERNAMA