
Laporan/foto: Farah Diana (Melaka)/FB Jabatan Mufti Negeri Melaka
MELAKA, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka bersetuju memberi kelonggaran kebenaran menunaikan Solat Tarawih secara berjemaah selepas Solat Isyak di masjid-masjid seluruh negeri Melaka bermula semalam (1 Mei 2020).
Menurut kenyataan media Pejabat Ketua Menteri Melaka, hanya empat orang pegawai masjid yang diberi kebenaran iaitu pengerusi masjid, imam, bilal dan siak.
“Walau bagaimanapun, mereka mesti mematuhi syarat-syarat tertentu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan.
“Antara syarat-syarat yang mesti dipatuhi adalah hanya solat Tarawih lapan rakaat yang ringkas dan tidak menggunakan pembesar suara di luar masjid. Selain itu, mereka perlu mengadakan penjarakan sosial satu meter dan tidak mempunyai simptom Covid -19 seperti mengalami batuk, sakit tekak, demam dan sesak nafas,” menurut kenyataan tersebut.
Borang kaji selidik peribadi akan dibekalkan bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.
“Kerajaan Negeri Melaka berharap agar kelonggaran yang diberi dapat memberi kemudahan kepada semua pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu lagi.
-SH