Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

MPAG Wujudkan e-Bazar Ramadan Secara Dalam Talian

By 3 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Haniza Harun (Alor Gajah)/Majlis Perbandaran Alor Gajah

MELAKA, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah mewujudkan portal e-Bazar@ramadan sebagai langkah membantu peniaga meneruskan perniagaan khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini.WhatsApp Image 2020-05-02 at 22.11.20

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MPAG, semua  peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar dan dilesenkan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibenarkan berniaga secara dalam talian dengan menyediakan makanan atau barangan jualan di premis perniagaan atau di rumah masing-masing dan melantik penghantar makanan atau barangan (sehala) kepada pembeli.

“Semua pengendali makanan dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil suntikan anti-tifoid serta menghadiri kursus pengendalian makanan.

“Tempoh kelulusan bermula dari tarikh kelulusan sehingga tamat tempoh PKP atau tertakluk kepada arahan kerajaan negeri atau MPAG, manakala lesen yang telah didaftarkan hanya sah untuk pemilik berdaftar sahaja dan para peniaga perlu mempunyai senarai makanan atau barangan dan harga jualan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan setiap peniaga perlu melantik dua orang penghantar makanan yang berdaftar dengan MPAG bagi tujuan kebenaran penghantaran makanan kepada pembeli.

“Penghantar makanan perlu mematuhi beberapa syarat umum iaitu perlu mengemukakan nama, kad pengenalan, alamat dan nombor telefon, mengemukakan kenderaan yang akan digunakan beserta lesen memandu, kenderaan yang digunakan mesti dilengkapi kotak penghantaran makanan, memastikan jarak selamat penghantaran dengan pelanggan sekurang-kurangnya 1 meter, sentiasa menggunakan penutup muka dan pembersih tangan sebelum dan selepas penghantaran serta jarak penghantaran tidak melebihi 10 kilometer dan waktu penghantaran bermula dari pukul 4 petang hingga 7 malam.

“Semua peniaga dan penjaja kecil  yang berminat menjalankan perniagaan dalam talian pada Ramadan ini boleh menghantar permohonan pada pautan yang telah disediakan oleh MPAG iaitu https://grgo.page.link/2GLin,” menurut kenyataan itu lagi.WhatsApp Image 2020-05-02 at 22.11.22

-KN

Tinggalkan komen anda