Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MPS Wajibkan Semua Penyewa Pasar Jalani Saringan COVID-19

By 11 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS

SELAYANG, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mewajibkan semua penyewa dan pekerja di semua pasar awam di bawah pentadbirannya untuk menjalani saringan COVID-19.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad, berkata saringan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga memastikan wabak COVID-19 tidak merebak secara senyap di kalangan pekerja asing yang bekerja di situ dan keselamatan pengunjungnya.

“Proses saringan pertama telah dilaksanakan pada 8 Mei lalu untuk semua penyewa dan pekerja Pasar Awam MPS Selayang Baru, melibatkan 421 orang bertempat di Dewan Seroja, Kampung Bendahara.

“Saringan ini akan diteruskan kepada semua penyewa dan pekerja pasar awam MPS yang lain iaitu Pasar Awam Moden MPS Rawang pada melibatkan 400 orang pada 13 Mei dan Pasar Awam Moden MPS Sri Gombak (130 orang) serta Pasar Awam MPS Taman Ehsan (30 orang) pada 15 Mei.

“Pada 19 Mei, saringan diteruskan untuk penyewa dan pekerja Pasar Awam MPS Bandar Country Homes melibatkan 200 orang dan Pasar Awam MPS Batu Arang (60 orang),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain proses saringan wajib, Mohamad Zin berkata, MPS juga telah melaksanakan kerja-kerja disinfeksi di bangunan pasar secara berkala sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 untuk memastikan kebersihan di tapak pasar.

Penyewa dan pekerja Pasar Awam MPS Selayang Baru sedang menunggu giliran di Dewan Seroja, Kg Bendahara bagi menjalani proses saringan COVID-19 yang diwajibkan pihak MPS.

Penyewa dan pekerja Pasar Awam MPS Selayang Baru sedang menunggu giliran di Dewan Seroja, Kg Bendahara bagi menjalani proses saringan COVID-19 yang diwajibkan pihak MPS.

 

“Setiap peniaga diarahkan untuk melakukan pembersihan di petak masing-masing menggunakan bahan pencuci bercampur cecair nyah kuman dengan nisbah 1:9 setiap kali selepas perniagaan dijalankan.

“Untuk keselamatan pengunjung, anggota MPS telah melaksanakan kawalan di setiap pasar awam, mengambil suhu badan penyewa dan pengunjung serta memastikan mereka mencuci tangan sebelum dibenarkan melakukan aktiviti jual beli,” ujarnya.

Katanya, MPS hanya membuka satu akses kepada pengunjung dan melekatkan penanda di atas lantai untuk panduan jarak sosial selain mengawal jumlah pengunjung bagi mengelakkan kesesakan terutama di waktu puncak.

“MPS berharap tindakan yang dilaksanakan ini dapat membantu usaha kerajaan membendung wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

“MPS juga menyeru masyarakat agar mematuhi sepenuhnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan memastikan peraturan ketika berkunjung ke pasar-pasar awam MPS terutama penjarakan sosial serta kebersihan dipatuhi,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda