Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pengusaha Restoran Ingkar SOP boleh Disaman

By 31 Mei 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Pengusaha restoran berisiko dikenakan tindakan saman maksimum RM1,000  menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata SOP itu merupakan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi mereka beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kelonggaran diberikan kepada restoran untuk beroperasi. Jadi kita harap mereka patuh SOP,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 harian di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai segelintir pengusaha restoran yang membenarkan pelanggan memasuki premis tanpa had serta mengabaikan aspek jarakan sosial ketika duduk di meja.

Mengenai penempatan rawatan bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif COVID-19, Dr Noor Hisham berkata kesemua 26 individu terbabit akan dipindahkan dari Hospital Sungai Buloh (HSB) ke Taman Pertanian Agro Malaysia Serdang (MAEPS) untuk rawatan.

Katanya keputusan tersebut dibuat berikutan cubaan melarikan diri seorang warga Bangladesh pagi tadi.

“Mereka akan dipindahkan semula ke MAEPS atas faktor keselamatan. Hanya warga tempatan dan pekerja asing sah sahaja akan dirawat di HSB,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan sedang dijalankan berhubung cubaan meloloskan diri oleh PATI tersebut.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda