Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pesakit COVID-19 Dibenar Discaj Selepas 14 Hari

By 27 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Pesakit COVID-19 di Malaysia boleh didiscaj selepas 14 hari menjalani rawatan di hospital walaupun keputusan ujian saringan menunjukkan pesakit itu masih positif.

Bagaimanapun, selepas dibenarkan pulang, pesakit dinasihatkan untuk menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan maklumat terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kajian dijalankan oleh Korea Selatan dan Taiwan, menunjukkan  bahawa tahap kebolehjangkitan seorang pesakit COVID-19 adalah hampir sifar selepas 14 hari.

“Maklumat ini mengubah SOP (prosedur operasi standard) dan protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan pesakit COVID-19.

“KKM akan maklumkan kepada semua pakar di hospital mengenai protokol baharu yang dilaksanakan iaitu KKM akan rawat kes positif COVID-19 untuk tempoh 14 hari sahaja,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan atlet tukul besi negara Jackie Wong yang masih dirawat di wad selepas 70 hari disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata berdasarkan  maklumat terbaharu dikeluarkan WHO itu, walaupun ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) adalah positif, KKM boleh membenarkan seseorang pesakit COVID-19 didiscaj selepas 14 hari.

“Yang penting ialah tahap kebolehjangkitan pesakit tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, kata Dr Noor Hisham, pesakit COVID-19 di Malaysia dirawat di hospital lebih dari tempoh dua minggu kerana mendapati ujian pada hari ke-13 pesakit berkenaan masih menunjukkan positif wabak itu.

Sementara itu, ditanya mengenai kluster Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil yang baharu dikesan dijangkiti wabak walau pendatang tanpa izin itu ditahan sebelum 18 Mac, Dr Noor Hisham berkata jangkitan itu berkemungkinan diperoleh daripada petugas penyediaan perkhidmatan termasuk perkhidmatan pembersihan.

“Oleh itu, kami sedang menyiasat perjalanan jangkitan tersebut kerana di pusat penahanan, mereka berada di ruang tertutup. Lebih penting lagi keadaan terkawal pada masa ini .. siasatan masih berjalan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda