Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Tiada Istilah Boleh Pulang Automatik Bagi Peserta MM2H

By 20 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Tiada istilah boleh pulang secara automatik bagi peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk kembali ke negara ini walaupun kebenaran telah diberikan Kabinet, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana peserta tersebut perlu menghantar permohonan pulang terlebih dahulu sebelum disemak dan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) .

“Mereka perlu memohon dahulu sebelum boleh balik. Kita akan tengok negara mana mereka datang, sama ada dari negara berisiko tinggi atau tidak. Keputusan boleh atau tidak boleh pulang akan ditentukan kemudian. Ia bukan automatik.

“Mereka (KKM,MKN, MOTAC) akan saring dan siasat dahulu permohonan,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Sabtu lepas, kerajaan membenarkan ahli program MM2H yang terkandas di luar negara untuk kembali ke negara ini, bagaimanapun mereka perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan disahkan negatif COVID-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan berlepas pulang ke Malaysia.

Mereka juga perlu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk menjalani saringan kesihatan dan kuarantin wajib selama 14 hari dan kos kuarantin wajib perlu ditanggung sendiri oleh ahli program, katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata buat masa ini  kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman berkenaan kebenaran menunaikan ibadah haji tahun ini.

“Kita menunggu keputusan oleh Arab Saudi. Sekiranya dibenarkan, Menteri Hal Ehwal Agama akan membuat pengumuman mengenainya,” katanya.

Sebelum ini, Singapura membuat keputusan untuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji 2020 bagi 900 jemaahnya ke tahun berikutnya berikutan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri juga berkata arahan bekerja dari rumah bagi penjawat awam sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa walaupun pejabat-pejabat kerajaan sudah mula dibuka.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda