Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Perak Berjaya Kekalkan Hampir 1 Juta Hektar HSK

By 27 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak berjaya mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) hampir mencecah satu juta hektar dalam usaha memperkukuhkan komitmen terhadap pengurusan hutan secara lestari.

Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata daripada keseluruhan 2.114 juta hektar keluasan tanah di negeri itu, sebanyak 1.015 juta hektar atau kira-kira 48 peratus daripadanya masih dikekalkan sebagai kawasan berhutan.

Beliau berkata sebanyak 988,723.93 hektar merupakan HSK yang diuruskan secara sistematik oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

“Daripada keluasan itu, sebanyak 495,273.33 hektar atau 50.09 peratus dikategorikan sebagai hutan perlindungan.

“Selebihnya iaitu 493,450.60 hektar merupakan hutan pengeluaran yang diurus di bawah konsep perolehan berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini semalam.

Saarani berkata pencapaian itu mencerminkan keseimbangan antara keperluan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi, selain selari dengan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi hutan.

Bagi memperkukuhkan tadbir urus sektor tersebut, beliau berkata kerajaan negeri telah menerimapakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] melalui Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 pada 21 April lepas.

“Pindaan ini memperkukuhkan perlindungan terhadap HSK, meningkatkan penguatkuasaan serta membuka ruang kepada ekonomi baharu berasaskan Perkhidmatan Ekosistem Hutan (PES), perdagangan karbon dan ekopelancongan,” katanya.

Menurut Saarani, Perak turut mencatat pencapaian penting apabila berjaya mewartakan tambahan 1,259.02 hektar HSK baharu melibatkan kawasan hutan darat dan hutan paya laut pada tahun lepas.

Perak juga katanya merekodkan kejayaan menanam 11.4 juta pokok menerusi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Saarani berkata pengurusan hutan di negeri berkenaan terus mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management [MC&I (SFM)].

“Unit Pengurusan Hutan (FMU) Perak berjaya mengekalkan pensijilan tersebut bagi kawasan seluas 988,700.88 hektar, menjadikannya antara kawasan pensijilan terbesar di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Bagi memperkasakan pemantauan, Jabatan Perhutanan Negeri Perak kini menggunakan teknologi imej satelit dan Sistem Amaran Awal Kepala Air (EWS) di Taman Eko Rimba bagi membolehkan pemantauan dilakukan secara masa nyata.

-FN

Tinggalkan komen anda