
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan urusan perniagaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri membangkitkan perkara itu khusus melibatkan dakwaan pengambilalihan aktiviti perniagaan tempatan oleh warga asing.
“Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
“Arahan itu merangkumi kes penyalahgunaan lesen, visa dan pelbagai kemudahan perniagaan yang diperuntukkan, termasuk jika melibatkan rakyat Malaysia sendiri,” katanya pada Sidang Media Jurucakap Kerajaan, di sini hari ini.
Fahmi berkata Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyentuh mana-mana kumpulan secara khusus sebaliknya merujuk kepada aduan berkenaan fenomena tersebut.
“Kita beri peringatan kepada semua peniaga untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang terutama (peniaga) yang ada lesen untuk berniaga atau laksanakan aktiviti perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi, berkata Perdana Menteri turut memutuskan bahawa aspek pembangunan perkhidmatan digital perlu diuruskan secara dalaman oleh Kerajaan dan diselaraskan oleh Kementerian Digital, khususnya melalui Jabatan Digital Negara.
“…dengan mengambil kira aspek perlindungan data, kedaulatan data, akses langsung kepada kod sumber serta pembangunan bakat dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
-FN




