Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Johor Corporation (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Johor Corporation (JCorp) menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) telah menyumbangkan 400 pek juadah berbuka puasa sebagai inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) kepada pasukan barisan hadapan.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh JCorp, sumbangan tersebut adalah bagi menghargai pengorbanan dan komitmen petugas barisan hadapan dalam membantu kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Sebanyak 300 pek makanan telah disediakan oleh WANCorp dan diserahkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSA).
“100 pek makanan lagi diserahkan kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK Johor),” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan, di sini semalam.
Berikutan penularan COVID-19 yang memberi kesan jangka panjang kepada seluruh rakyat khasnya golongan B40, JCorp menggalakkan orang ramai untuk membantu golongan yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Dana COVID-19 yang diuruskan oleh WANCorp.
“Sehingga kini seramai 10,000 buah keluarga telah dibantu dengan pemberian barang makanan keperluan asas seperti beras, tepung dan minyak.
“Sumbangan kepada Dana COVID-19 boleh dibuat menerusi pautan: http://toyyibpay.com/Tabung-Bantuan-Covid-19- atau disalurkan ke dalam Akaun Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru: 01014010060023 (Bank Islam Malaysia Berhad),” tambah kenyataan itu.
-NI/SH