
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/Unit Komunikasi Awam Sarawak
SRI AMAN, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diberi penekanan sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja mahir apabila menjadi fokus perbincangan pada Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Sri Aman 2026 di Dewan Suarah Sri Aman, kelmarin.
Residen merangkap Pengerusi MPBN Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata pembangunan belia berkualiti merupakan faktor penting bagi memastikan Sarawak memiliki tenaga kerja kompeten dan mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“Persekitaran global hari ini menuntut tenaga kerja yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut menguasai kemahiran teknikal dan mampu beradaptasi dengan perubahan teknologi,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Menurut Mahra, TVET kini menjadi antara pendekatan paling berkesan melahirkan generasi muda yang memiliki kemahiran teknikal, selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam pada itu, program yang menghimpunkan wakil daripada 13 kelab belia seluruh bahagian itu menjadi medan membincangkan pelbagai agenda pembangunan belia termasuk peningkatan kemahiran, transformasi digital serta peluang pekerjaan.
Tambah beliau, MPBN juga berfungsi sebagai platform menghimpunkan pandangan dan aspirasi belia bagi membantu kerajaan merangka dasar yang lebih relevan.
“Belia hari ini merupakan pewaris kepada legasi tersebut. Mereka perlu berani merebut peluang, meningkatkan kemahiran dan membina kapasiti diri supaya mampu menjadi pemimpin yang progresif serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Saya yakin belia Bahagian Sri Aman mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri menjelang 2030,” jelasnya.
Mahra turut menggalakkan belia memanfaatkan peluang dalam bidang inovasi dan keusahawanan, selain menyeru agensi kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan belia untuk terus memperluas peluang latihan dan pendedahan industri.
-RJ-




