
Laporan/foto: Rosli Husain (Melaka)/ FB Zoo Melaka
MELAKA, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Hanya seribu pengunjung sehari sahaja dibenarkan untuk melawat Zoo Melaka bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dipatuhi.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Shadan Othman, langkah ini diambil bagi memastikan tidak berlaku kepadatan atau kesesakan pengunjung dalam satu masa.
“Bagi memudahkan kakitangan membuat pemantauan dalam melaksanakan SOP yang telah ditetapkan, Zoo Melaka akan dibuka pada dua sesi iaitu bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari bagi sesi yang pertama yang melibatkan 500 orang pengunjung pertama manakala sesi yang kedua bermula jam 2.00 hingga 6.00 petang. Pihak zoo juga akan mengadakan program sanitasi dalam persekitaran zoo.
“Dijangka pada hujung minggu ini Zoo Melaka akan menerima ramai pengunjung kerana akan membuat tawaran pemotongan harga sebanyak RM10.00 untuk dewasa dan RM5.00 untuk kanak kanak manakala untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas potongan sebanyak RM17.00 dan kanak kanak RM12.00,” ujarnya.
Dalam pada itu, aktiviti memberi makanan dan mengambil gambar bersama binatang yang terdapat dalam zoo akan diteruskan sebagai tarikan kepada pengunjung.
-KN