
Laporan/foto: Salwati Md Zam (Melaka)/FB Jabatan Mufti Negeri Melaka
MELAKA, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan cerapan gerhana matahari separa di Masjid Cina Melaka Ahad (21 Jun) lepas. Cerapan diadakan sempena fenomena Gerhana Matahari terakhir yang dapat disaksikan di Malaysia pada tahun ini.
Fenomena gerhana kali ini dikenali sebagai gerhana matahari separa yang bermaksud hanya sebahagian daripada matahari akan terlindung oleh bulan. Aktiviti cerapan gerhana telah dilakukan oleh kakitangan dari Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka bermula pada pukul 2.30 petang dan tamat sekitar pukul 5.00 petang. Gerhana matahari separa pula mencapai litupan maksimum pada jam 3.59 petang.
Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka, Sr. Mohamad Azmar Che Mat turut bersama-sama melakukan aktiviti cerapan gerhana yang berlaku pada kali ini.
Aktiviti cerapan kemudiannya disusuli dengan solat sunat gerhana serta khutbah gerhana disertai seramai 20 jemaah yang telah dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.
Walau bagaimapun, program kali ini tidak dibuka kepada orang awam atas faktor pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
-KN