Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Geng Paulo Aktif Pecah Rumah Tumpas

By 24 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Geng Paulo yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di  kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, tumpas selepas dua ahli kumpulan itu ditahan polis.

Tangkapan dua lelaki berkenaan yang berusia 42 dan 50 tahun itu susulan laporan polis pada 17 Jun lalu oleh seorang lelaki berusia 60 tahun yang mendapati kediamannya dipecah masuk dan kehilangan barang-barang berharga melibatkan kerugian RM30,000.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Balai Polis Selayang telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki keturunan Cina di Selayang Baharu, semalam.

“Pihak polis memeriksa kereta tersebut dan menjumpai dua papan hitam yang mempunyai nombor pendaftaran kenderaan dan semakan mendapati kereta Myvi dilaporkan disamun serta dilarikan di Damansara sejak setahun lalu.

“Seterusnya, pemeriksaan di dalam bilik stor rumah suspek turut menemui barang-barang dipercayai hasil curi.

Arifai (dua dari kiri) menunjukkan kereta Toyota Harrier menggunakan nombor pendaftarann palsu yang digunakan ahli Geng Paulo menjalankan aktiviti jenayah pecah rumah.

Arifai (dua dari kiri) menunjukkan kereta Toyota Harrier menggunakan nombor pendaftarann palsu yang digunakan ahli Geng Paulo menjalankan aktiviti jenayah pecah rumah.

“Pelbagai barangan dirampas termasuk 20 beg sandang pelbagai jenama, lima telefon bimbit, lima telefon bimbit, empat botol arak, pelbagai peralatan pecah rumah yang diubah suai serta sebuah kereta Myvi dan sebuah Toyota Harrier,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan dan direman selama enam hari sehingga 29 Jun ini.

“Penangkapan dua ahli Geng Paulo ini dipercayai dapat menyelesaikan 21 kes pecah rumah membabitkan kawasan Selayang, Gombak, Rawang dan Desa Jaya.

“Seorang daripada suspek tersebut mempunyai lima rekod lampau melibatkan kes pecah rumah dan lain-lain jenayah, namun ujian air kencing kedua-duanya negatif.

“Polis masih meneruskan siasatan dan percaya kumpulan ini telah lama aktif dan sedang menjejaki ahli-ahli kumpulan yang lain,” katanya semasa sidang media di IPD Gombak, Jalan Bukit Idaman hari ini.

Arifai berkata orang ramai yang ingin meninggalkan rumah dinasihatkan agar pastikan pintu berkunci dan tambah kunci keselamatan lain.

“Sekiranya mampu, boleh memasang alat pengera atau kamera litar tertutup dan laporkan di balai polis berhampiran sekiranya meninggalkan kediaman.

“Jangan amalkan tinggalkan kunci rumah di dalam kasut atau di bawah alas kaki kerana taktik tersebut telah diketahui oleh penjenayah.

“Jika ada wang tunai hendaklah disimpan di tempat yang selamat seperti di bank-bank,” jelasnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda