
Laporan/foto: Sharifah Ithnin (Alor Gajah)/FB Kerajaan Negeri Melaka
MELAKA, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Empat misi utama telah dibentangkan kerajaan Negeri Melaka susulan Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka (MTEN) dan salah satu daripadanya adalah untuk mendapatkan maklumat secara tepat tentang individu yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan di negeri ini.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, selain itu, maklumat ini juga bertujuan untuk merancang program pembangunan modal insan bagi meningkatkan mutu tenaga kerja di Negeri Melaka, merancang pelaksanaan program penempatan semula pekerja dan merancang program pembangunan usahawan di sini.
“Saya berharap rakyat Negeri Melaka yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat meluangkan masa untuk mengisi borang soal selidik ini agar Kerajaan Negeri dapat mengumpul maklumat dan seterusnya segera merangka pelan pemulihan dalam membendung masalah yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini,” ujar Sulaiman.
Borang pengumpulan maklumat ini telah dimuat naik ke laman sosial Facebook rasmi Kerajaan Negeri Melaka bermula 21 Mei 2020 untuk tempoh 2 minggu iaitu sehingga 3 Jun 2020.
-KN