Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Semakan Status Permohonan GKP Kini Boleh Dibuat

By 3 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Semakan status permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro kini boleh dibuat mulai 3 Jun, 2020, kata Menteri Kewangan  Tengku Datuk Seri  Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata bagi permohonan yang diluluskan, jumlah nilai bayaran sebanyak RM1.47 bilion akan dibuat mulai 15 Jun, 2020.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang membuat semakan lanjut ke atas 81,260 permohonan, dan status kelulusan bagi permohonan akan dimaklumkan mulai 8 Jun.

“Bagi yang lulus, bayaran akan dibuat mulai 15 Jun juga,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Ketujuh Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini.

Beliau berkata LHDN juga mendapati sebanyak 72,859 permohonan yang tidak lulus, justeru, tempoh rayuan akan dibuka mulai esok 3 Jun hingga 15 Jun  melalui portal rasmi LHDN iaitu gkp.hasil.gov.my.

Bagi rayuan permohonan yang diluluskan, bayaran akan dibuat mulai 29 Jun, katanya.

Tengku Zafrul berkata pada 15 Mei, iaitu tarikh tutup permohonan GKP, sebanyak 643,000 permohonan telah diterima, dan sebanyak 488,857 atau 76 peratus permohonan itu telah diluluskan.

Beliau berkata setakat 31 Mei, subsidi upah dengan nilai berjumlah RM3.22 bilion telah diluluskan untuk 286,338 majikan yang mewakili 2.2 juta pekerja.

Ini adalah peningkatan jumlah yang diluluskan sebanyak RM980 juta untuk 200,000 pekerja berbanding dua minggu sebelumnya, katanya.

Beliau berkata bagi Program Pengekalan Pekerja yang dikawal selia oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sehingga 31 Mei, seramai 184,000 pekerja telah diluluskan bersamaan dengan RM110 juta sebulan.

“Manfaat ini akan disalurkan kepada majikan dan pemilik perniagaan,”  katanya.

Tengku Zafrul berkata mengenai Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setakat 31 Mei, sebanyak 26,509 permohonan telah diterima, dan 5,245 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM34.8 juta bagi caruman KWSP majikan berbanding RM20.6 juta dua minggu lepas.

Beliau berkata untuk Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), setakat 31 Mei, permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan setuju terima oleh PKS adalah bernilai RM6.9 bilion, dan akan memberi manfaat kepada 16,833 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas, Agrofund dan Insurans Takaful untuk saringan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata berkaitan Skim Kredit Mikro dengan kadar faedah atau keuntungan sifar peratus, jumlah nilai keseluruhannya sebanyak RM700 juta.

Tengku Zafrul berkata pada minggu ini, 4,587 permohonan telah diluluskan dengan nilai berjumlah RM175 juta di bawah skim kredit mikro BSN.

Bagi program TEKUN pula, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 15,949, dengan nilai RM128 juta, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda