
Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohamed/Mohamad Afiq Ahmad Zaid (Kuala Nerus)
PADANG NENAS, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Jemaah solat jumaat meluahkan rasa syukur kerana dapat menunaikan solat jumaat buat kali kedua dan mereka dilihat beratur di luar masjid seawal 12.00 tengahari baru-baru ini untuk memasuki Masjid Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus.
Kedatangan awal jemaah adalah untuk merebut peluang daripada kelonggaran yang diberikan kerajaan negeri untuk menunaikan solat jumaat dengan jumlah jemaah dihadkan mengikut ruang atau saiz kapasiti masjid di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Walaupun sebahagian dari jemaah kecewa tidak dapat menunaikan solat jumaat pada minggu sebelumnya kerana masalah ruang masjid yang terhad, mereka begitu teruja dan gembira datang lebih awal dan berharap keadaan akan bertambah baik pada masa akan datang.
Menurut Imam Masjid Kampung Padang Nenas Che Abdullah Che Ali, bagi memastikan pelaksaan solat Jumaat berjalan dengan lancar, pengurusan masjid hanya membuka satu laluan pintu masuk yang dikawal oleh pihak polis.
“Sebelum dibenarkan ke ruangan solat, pengurusan masjid mengambil suhu para jemaah dan merekod nama serta nombor telefon mereka,” katanya.
Seorang jemaah masjid, Razali Malik, melahirkan rasa syukur kerana solat jumaat berjalan dengan baik walaupun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan masjid.
“Ia seperti satu rahmat kerana masih berpeluang menunaikan solat bersama jemaah-jemaah yang lain.
“Terima kasih juga kepada kerajaan kerana telah memberi kelonggaran ini. Saya berdoa semoga penularan wabak COVID-19 di negara ini akan reda dan akan kembali pulih seperti biasa tidak lama lagi,” katanya.
-ii-