Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Projek dan Perolehan Kerajaan Akan Dipermudahkan – Marzuk

By 22 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan menyegerakan proses pembinaan projek-projek tertangguh dan perolehan kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, dalam mesyuarat pasca Kabinet terakhir, Perdana Menteri mengarahkan untuk menyegerakan proses pembinaan dan perolehan kerajaan yang terganggu semasa pelaksanaan peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan akan menyegarakan proses itu dengan kaedah yang tidak melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) perolehan untuk kita longgarkan sedikit agar dipermudahkan kerana kita bimbang tidak sempat melaksanakan projek-projek pembinaan dalam tahun ini.

“Perdana Menteri mengarahkan agar meneliti beberapa  SOP untuk melicinkan projek-projek termasuk beberapa pembinaan masjid di Labuan seperti mana komitmen yang telah kita nyatakan termasuk peruntukan yang sudah diluluskan,” katanya yang ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan Labuan Sesi 2020-2023, di sini semalam.

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang Jawatankuasa Kariah Masjid.

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang Jawatankuasa Kariah Masjid.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menilai kembali program-program pendidikan keagamaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) dan agensi-agensi lain.

“Kita akan mendengar cadangan atau input baharu daripada Ketua-ketua agensi bawah Hal Ehwal Agama berkaitan dengan kewajaran untuk kita tingkatkan keberkesanan perkhidmatan pendidikan keagamaan di seluruh negara.

“Setiap agensi telah diarahkan untuk menilai kembali keseluruhan perkhidmatan mereka termasuklah soal pendidikan keagamaan,” jelasnya.

Marzuk turut  menyeru semua masjid dan surau Jumaat supaya memperbanyakkan program kerjasama bersama rakan Strategik dan NGO untuk manfaat jemaah dan ahli kariah.

Ahmad Marzuk (barisan depan, tengah) , Ahmad Saifuddin (barisan depan, kiri) dan Mohd Ajib (barisan depan, kanan) bergambar kenangan bersama Kariah Masjid Dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan Labuan.

Ahmad Marzuk (barisan depan, tengah) , Ahmad Saifuddin (barisan depan, kiri) dan Mohd Ajib (barisan depan, kanan) bergambar kenangan bersama Kariah Masjid Dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan Labuan.

“Masjid dan surau Jumaat boleh mengambil inisiatif untuk menyelaras bantuan dan sumbangan kepada ahli kariah yang memerlukan, lebih-lebih lagi ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat wabak COVID-19, ada baiknya Jawatankuasa Kariah mendekati semua lapisan masyarakat dalam kariah masing-masing.

“Saya mengharapkan agar semua pengerusi dan jawatankuasa kariah lantikan baharu ini dapat memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya agar perancangan pengimarahan institusi masjid dan surau Jumaat khususnya di Wilayah Persekutuan labuan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya lagi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail dan Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan Ahmad Saifuddin Md Tahir.

-SH

Tinggalkan komen anda