Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Sepanjang lebih tiga bulan petugas kesihatan dan keselamatan telah berhadapan situasi yang getir dalam memastikan penularan COVID-19 berada di dalam paras yang minima.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Dungun (PPD Dungun), Rusmiza Anuar beliau amat terharu dengan jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh petugas barisan hadapan dan telah mengambil inisiatif menyantuni Pegawai dan kakitangan daripada Pusat Koreksional Dungun dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Petugas barisan hadapan kita telah bertungkus lumus dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat agar terpelihara dan setiap agensi telah memainkan peranan yang sangat cemerlang dalam memastikan penularan COVID-19 dihapuskan,” katanya.
Bagi Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Dungun, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid, biarpun daerah Dungun telah memasuki zon hijau dan sifar COVID-19, namun pihaknya sentiasa berada di dalam keadaan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan di luar jangkaan.
“Kita kini berada di persekitaran norma baharu dan tindakan perlu berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) apabila negara masih lagi dalam proses Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP).
“Kehadiran pihak PPD Dungun sudah pasti memberikan keceriaan buat kami di samping dapat membina kerjasama rentas agensi bagi program-program yang akan datang,” kata Ramlan ketika ditemui. di sini baru-baru ini.
Penolong Komisioner Penjara, Hamid Taha, mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian PPD Dungun untuk singgah di institusi ini dan menyampaikan hebahan awam di kediaman pegawai dan kakitangan mengenai COVID-19.
“Pertemuan ini, merupakan satu satu titik permulaan bagi pihak kami untuk terus bekerjasama pada masa akan datang,” katanya.
-ii-