Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes COVID-19 Babitkan Warga Asing Meningkat

By 2 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Graf kes harian sebenar merangkumi semua kes COVID-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, melibatkan kes positif dalam kalangan bukan warganegara sejak 29 April, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperincikan perkembangan itu beliau berkata, ia disebabkan kes import dari luar negara serta penularan wabak dalam kalangan bukan warganegara, di beberapa Depoh Tahanan Imigresen dan juga dalam kalangan pekerja asing di pelbagai sektor di dalam komuniti.

“Ini bermakna, negara kini berdepan dengan satu cabaran baharu yang perlu kita tangani bersama, iaitu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Walaupun warga asing menyumbang kepada peningkatan kes, Dr Noor Hisham menegaskan mereka tidak harus disisih, dan wujud stigma terhadap mereka oleh rakyat Malaysia.

Jelasnya, pergaulan dan percampuran rakyat Malaysia dengan golongan bukan warganegara sememangnya terhad, namun kehadiran mereka sebagai pekerja, telah membantu dalam memperkasa ekonomi negara.

“Sewajarnya, kita perlu mengenal pasti dan mencari cara penyelesaian, bagi menangani isu penularan COVID-19 dalam kalangan mereka ini.

“Oleh itu, pendekatan seluruh jentera kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga masyarakat diperlukan, agar isu ini dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya.

Bagi tujuan itu Dr Noor Hisham berkata, beberapa langkah perlu diambil, iaitu menyelesaikan masalah penginapan pekerja asing yang sempit dan sesak dengan segera, bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

Beliau berkata, pekerja asing (terutama dalam sektor pembinaan dan keselamatan) di semua zon merah, wajib disaring untuk COVID-19 seperti yang diarahkan kerajaan, manakala zon kuning dan zon hijau pula digalakkan disaring dengan inisiatif majikan masing-masing.

Katanya pihak kedutaan bagi negara pekerja asing dan lain-lain NGO, bekerjasama memastikan komunikasi yang berkesan dan terbaik, untuk menyampaikan situasi semasa berkaitan COVID-19 serta garis panduan yang perlu dipatuhi oleh golongan bukan warganegara.

“Majikan bertanggungjawab memberi pendidikan kepada pekerja bukan warganegara masing-masing, tentang amalan kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda