
Laporan/foto: Ahmad Fitri Jasni/Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Setelah 79 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, keadaan ekonomi dan aktiviti sosial di sini kembali seperti biasa dengan kerjasama baik yang diberikan oleh masyarakat Kuala Pilah dalam mematuhi perintah yang diwartakan oleh kerajaan tersebut.
Hal ini dapat dilihat dengan kembalinya kerancakan perniagaan khususnya yang menyediakan jualan makanan yang mula membuka perniagaan.
Dengan mengamalkan norma baru dalam kehidupan, orang ramai dilihat mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka semasa berada di tempat awam.
Selain itu, peringatan terus dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan amalan kesihatan dipatuhi dalam usaha memerangi Covid-19.
Menurut seorang pengusaha gerai makanan di Kawasan Rehat Hutan Lipur Rekreasi Ulu Bendul, Daud Abdullah, pihak beliau sentiasa memastikan sanitasi dan kebersihan dijaga terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti perniagaan
“Walaupun pada ketika ini pengunjung ke Hutan Lipur Rekreasi Ulu Bendul masih kurang disebabkan ianya masih ditutup kepada orang ramai, namun saya masih juga meneruskan perniagaan yang mana hasil jualan tertumpu kepada pemandu kenderaan yang berulang alik melaui Jalan Kuala Pilah-Seremban,” ujarnya yang telah mula membuka premis perniagaan sejak Rabu lalu.
Manakala salah seorang peniaga, Zaidi Muhammad, beliau juga telah memulakan operasi bagi perniagaannya di sini dan mula menggunakan kaedah perniagaan yang baharu.
“Sebelum PKP saya hanya menunggu pelanggan datang ke kedai, tetapi selepas larangan orang ramai untuk keluar diketatkan saya mengambil inisiatif mengambil tempahan pelanggan melalui aplikasi Whatapps agar perniagaan saya dapat berjalan seperti biasa,” katanya.
Walaupun kelonggaran diberikan semasa PKPB, namun masyarakat tetap perlu berwaspada, dan tidak mengambil mudah situasi penurunan kes yang berlaku, kerana usaha-usaha memerangi virus COVID-19 masih belum tamat.
– AK