Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PL Kenal Pasti 22 Kawasan Hakisan Pantai

By 27 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus(Labuan)

LABUAN, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) dengan bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan mengenal pasti 22 kawasan yang mengalami hakisan pantai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr. Fary Akmal Osman, dua kawasan mengalami hakisan sangat kritikal, sembilan kritikal dan bakinya memerlukan pemantauan berterusan JPS.

“Dua kawasan yang mengalami hakisan yang sangat kritikal adalah pantai Kampung Sungai Miri dan Kampung Sungai Pagar.

Dr. Fary (tengah) diberi penerangan cadangan projek pengubahsuaian pantai Kampung Sungai Miri oleh Pengarah JPS Labuan  Juniaddi Awang Tuah (kanan) dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan Amir Hamzah Musa ketika lawatan tersebut.

Dr. Fary (tengah) diberi penerangan cadangan projek pengubahsuaian pantai Kampung Sungai Miri oleh Pengarah JPS Labuan Juniaddi Awang Tuah (kanan) dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan Amir Hamzah Musa ketika lawatan tersebut.

“Bagi Pantai Kampung Sungai Miri, JPS dengan peruntukan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sedang dalam proses tender bagi menjalankan projek pengubahsuaian dan perlindungan pantai serta diharap projek ini dapat dipercepatkan.

“Kita juga berharap pihak yang mengawal selia pantai dalam kawasan persendirian mengambil langkah-langkah sewajarnya dan jika ada masalah sila berhubung dengan PL atau JPS supaya masalah hakisan tidak berlarutan,” katanya selepas melakukan lawatan ke beberapa lokasi hakisan pantai, di sini semalam.

Tambahnya, usaha itu juga bagi menyokong PL membangunkan Labuan sebagai destinasi pelancongan dan cadangan Menteri Wilayah mengenai potensi-potensi pembangunan baharu termasuk meningkat keadaan serta keindahan pantai-pantai di pulau itu.

Dr.Fary (kiri) dan Juniaddi melihat hakisan pantai Tanjung Aru Nelayan.

Dr.Fary (kiri) dan Juniaddi melihat hakisan pantai Tanjung Aru Nelayan.

Dalam perkembangan lain, PL juga katanya menyokong permohonan JPS untuk rancangan perizaban sungai agar boleh menjalankan kerja-kerja pelebaran dan pedalaman sungai bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering terjadi.

“Antara sungai-sungai itu seperti Sungai Anggak, Sungai Miri, Sungai Pagar dan Sungai Belukut dan PL juga menyokong permohonan JPS untuk perizaban tanah kerajaan sebagai dataran banjir Sungai Kinabenua bagi menyediakan tempat takungan air sebagai persediaan kawalan banjir,” katanya.

Beliau juga memohon warga Labuan bersama-sama menjaga parit-parit di kawasan masing-masing dengan selalu membersihkannya untuk mengelakkan masalah banjir kilat manakala kawasan umum akan terus diberi perhatian PL dengan meningkatkan kerja pelebaran dan pedalaman sungai.

-SH

Tinggalkan komen anda