
PUTRAJAYA, 26 Jun (Malaysiaaktif) – RHB Asset Management Sdn Bhd (RHBAM) melancarkan platform pelaburan dalam talian RHBAM MyInvest untuk ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ini bagi membolehkan mereka melabur dalam RHBAM atau dana unit amanah RHB Islamic International Asset Management Bhd (RHBIIAM) yang tersenarai dalam kemudahan i-Invest di bawah Skim Pelaburan Ahli-KWSP.
RHBAM berkata pelanggan yang juga ahli KWSP akan mendapat akses mudah bagi RHBAM MyInvest menerusi kemudahan i-Invest KWSP bagi memudahkan mereka membuat pelbagai pilihan pelaburan disediakan oleh RHBAM dan RHBIIAM.
“Kemudahan itu membolehkan pelanggan baharu RHBAM yang juga ahli KWSP membuka akaun dalam talian manakala pelanggan sedia ada yang merupakan ahli KWSP hanya perlu mengaktifkan akaun dalam platform RHBAM MyInvest sebelum melakukan sebarang transaksi,” kata RHBAM dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Urusannya Eliza Ong berkata memandangkan platform digital terus menjadi pengubah serta mendominasi pasaran, syarikat tersebut melihat lebih ramai pelabur beralih kepada platform dalam talian bagi tujuan urusan transaksi kewangan serta memenuhi keperluan pelaburan masing-masing.
Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata syarikat itu kini dalam proses membangunkan dana khusus dalam sektor seperti e-dagang, keselamatan siber dan pendidikan dalam talian.
“Ini merupakan masa yang terbaik untuk meneliti semula tawaran produk kami dalam pasaran yang pesat berkembang bagi memanfaatkan peluang pelaburan selain mengurangkan potensi risiko bagi pelanggan kami,” katanya.
— BERNAMA