Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

18 Kes Baharu Dengan Lapan Penularan Tempatan

By 18 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Selepas mencatatkan satu angka sejak Isnin, kes baharu COVID-19 negara kembali kepada dua angka dengan 18 kes baharu dilaporkan membabitkan 10 kes import dan lapan penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah 8,755 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan 92 kes.

“Kes import melibatkan tujuh warga tempatan dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja, manakala bagi kes penularan tempatan pula enam adalah warga Malaysia dan dua bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Memperincikan kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia, Dr Noor Hisham berkata terdapat empat kes di Sarawak dan dua kes di Terengganu melibatkan kluster baharu, Kluster PUI Pitakwa.

“Satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Umum Sarawak, satu kes daripada kluster baharu, Kluster Pusat Perubatan Kuching serta dua kes saringan di tempat kerja namun, mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Sementara itu, bagi dua kes jangkitan dalam negara membabitkan bukan warganegara masing-masing satu kes daripada Kluster PUI Shirala di Kuala Lumpur dan satu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara yang tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat COVID-19 kekal 122 kes.

Beliau berkata terdapat tiga kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah 8,541 kes manakala hanya tiga kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda