Foto: Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Bhd
PUTRAJAYA, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk meluaskan program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) kepada 3,000 peruncit koperasi di seluruh negara bagi tempoh 2020 hingga 2021.
Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata BA100 merupakan program berteraskan platform e-dagang, jimatbiz.com yang mengumpulkan belian barang asas secara pukal bagi membolehkan mereka mengisi semula barang untuk dijual di kedai runcit koperasi.
“Buat permulaan, kita fokus pada barangan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak serta akan dikembangkan kepada barangan basah selain barangan bukan kawalan seperti sabun pencuci dan sebagainya.
“Saya percaya ahli koperasi dan rakyat akan mendapat keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pembukaan Pasaraya Best Mart yang pertama milik Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Berhad (KO-BEST) di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini hari ini.
Setakat ini, beliau berkata Angkasa telah menerima 1,500 pendaftaran peruncit koperasi BA100.
Mengulas pembukaan Pasaraya Best Mart, Abdul Fattah berkata perniagaan itu akan memberi pilihan kepada orang ramai dari segi tawaran harga yang lebih berpatutan sekali gus membantu ia untuk bersaing dengan pasar raya sedia ada.
— BERNAMA