
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Malaysia kembali mencatat jumlah kes positif COVID-19 dua angka hari ini dengan 10 kes baharu direkodkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 10 kes baharu itu, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan semua warganegara Malaysia.
“Daripada tiga kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara.
“Dalam kalangan warganegara Malaysia, satu kes positif dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kes saringan prapembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan kes itu telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Selain itu, satu kes positif penularan tempatan turut dikesan di Sabah dalam saringan petugas kesihatan yang telah tamat bertugas di sebuah pusat kuarantin di Likas.
Dr Noor Hisham berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,658 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 76 kes.
Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah didiscaj daripada wad turut menghampiri 100 peratus, iaitu sebanyak 97.7 peratus atau bersamaan 8,461 kes termasuk 15 kes pulih hari ini, katanya.
Beliau berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu kekal 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kedua-dua kes itu memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
— BERNAMA