Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pengambilan Perajurit Muda Tentera Darat Tidak Dikurangkan

By 4 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Jumlah pengambilan perajurit muda tidak akan dikurangkan meskipun negara sedang berdepan pandemik COVID-19, kata Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zamrose Mohd Zain.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) termasuk aspek jarakan sosial di bilik penginapan dipatuhi, siri pengambilan dikurangkan daripada empat siri setahun kepada dua siri.

“Tiada pengurangan pengambilan perajurit muda dan ia masih kekal 2,000 orang bagi setiap siri pengambilan.

“Namun, kali ini kemasukan bagi siri kedua hanya dibuat pada Ogos depan. Kami habiskan dahulu tempoh latihan selama enam bulan untuk satu siri kemasukan kemudian barulah akan ada kemasukan siri baharu,”  katanya kepada pemberita selepas acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Diraja Malaysia Lelaki Siri 191/19 di Port Dickson, hari ini.

Dalam pada itu, Zamrose berkata acara perbarisan tamat latihan yang melibatkan 1,782 perajurit muda hari ini diadakan dalam kebiasaan baharu dengan setiap anggota perbarisan memakai penutup mulut bercorak celoreng selain jarak anggota yang berbaris lebih jauh berbanding biasa.

Tambahnya, buat pertama kali, ahli keluarga anggota juga tidak dibenarkan hadir dan hanya melihat acara perbarisan yang dibahagikan kepada dua sesi melibatkan 891 anggota bagi setiap sesi itu, menerusi live streaming di media sosial.

“Acara ini merupakan tanda kenangan kepada mereka sebaik sahaja tamat latihan, sebab itu kami cuba sebaik mungkin mengadakan acara ini dengan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Kesemua perajurit muda lelaki itu menamatkan latihan asas ketenteraan selepas menjalani latihan selama enam bulan yang bermula pada 22 Nov tahun lepas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda