Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: Malaysia Rekod 23 Kes Baharu

By 26 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Kes jangkitan baharu COVID-19 di dalam negara terus meningkat dengan 23 kes dilaporkan berbanding 21 kelmarin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,884 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 167 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam, enam adalah kes import melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Enam kes import tersebut ialah dari Singapura iaitu tiga kes, Indonesia (1) Filipina (1) dan Rusia (1),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Dr Noor Hisham berkata penularan dalam negara pula mencatatkan 17 kes dengan 10 adalah dalam kalangan warga Malaysia sementara tujuh melibatkan warga asing.

Dr Noor Hisham berkata tujuh kes dalam kalangan warga asing melibatkan satu kes saringan selepas bersalin di Kuala Lumpur.

“Dia merupakan seorang tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Dia tidak bergejala dan sedang dirawat di Hospital Serdang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dua kes dilaporkan di Selangor iaitu masing-masing satu daripada Kluster Rumah Kongsi Sepang dan saringan di tempat kerja.

Menurutnya, empat kes direkodkan di Johor iaitu satu kes masing-masing daripada Kluster Warga Emas Kluang dan saringan sebelum masuk kerja manakala dua kes daripada Kluster Bukit Tiram.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 10 kes penularan COVID-19 dalam negara melibatkan warga Malaysia merangkumi satu kes masing-masing daripada Kluster Warga Emas Kluang dan kes saringan tempat kerja di Johor, serta lapan lagi di Sarawak.

Lapan kes di Sarawak melibatkan empat daripada Kluster Sentosa dan satu kes masing-masing direkodkan daripada Kluster kejuruteraan Kuching, syarikat pembinaan Kuching, saringan tempat kerja dan saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang yang mana individu tersebut tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, kata Noor Hisham.

Beliau berkata terdapat 17 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,594 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, hanya tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan. Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, justeru kes kematian COVID-19 di Malaysia  kekal sebanyak 123 kes,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda