Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Conteng Mural Pemimpin Negara: PEMBELA Buat Laporan Polis

By 25 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Syafiq Jamloh/ Rohaizad Mohd (Pekan)

PEKAN, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Gabungan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Negeri Pahang telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan terhadap tindakan beberapa individu tidak bertanggungjawab yang telah melakukan vandalisme dengan menconteng lukisan mural pemimpin negara di kawasan komersial, Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Laporan polis telah dibuat oleh Pengerusi PEMBELA Pahang, Dato’ Haji Syed Nasarudin bin Syed Abd Hadi, bersama enam badan bukan kerajaan (NGO) terhadap beberapa individu yang telah menghina institusi raja dengan menconteng mural Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara yang lain dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

“Tindakan beberapa individu ini merupakan satu penghinaan yang telah menimbulkan kemarahan pihak istana dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dalam negara”.

Beliau juga berpendapat perbuatan ini disengajakan dengan perancangan tertentu oleh kumpulan dan individu yang mempunyai agenda jahat yang bermatlamat untuk mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Justeru, laporan ini dibuat supaya pihak polis dan pihak berwajib membuat siasatan penuh dan mengenal pasti mereka yang terlibat (individu dan kumpulan) dan mengenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara.

Turut hadir ialah pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya, naib pengerusinya, Masridzi Sat bersama pimpinan NGO seperti PEKIDA, ASHRAF, Gabungan Masjid Wilayah Jengka, PEMBELA Pahang, Persatuan Veteran Tentera, ISMA dan Persatuan Pondok Negeri Pahang yang hadir membantah tindakan beberapa individu ini.

-KN

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda